Saturday, February 24, 2007

Mukadimah Mimbar Ul Islam

Sabda Rasullullah s.a.w ;
Daripada Abdullah bin Amr [r], bahawa seorang lelaki bertanya Nabi s.a.w : Manakah Islam yang lebih baik?

Sabdanya : Menjamu makanan dan mengucap salam kepada kenalan atau bukan kenalan.
[ Riwayat Bhukari ]
Pengertian hadis ini, Nabi kita menerangkan dua perkara penting untuk " menyatupadukan " masyarakat dalam persatuan yang kukuh dan kuat iaitu melalui : Menjamu makanan dan " berderma " kepada jalan kebaikan serta memberi salam kepada kenalan atau bukan kenalan tanpa membezakan antara satu sama lain.


Kesimpulan dari itu : Hidupkanlah kembali perasaan " muhibbah " di kalangan masyarakat Islam dengan sifat dermawan dan ucapan selalu di dalam sesuatu majlis yang dianjurkan.
Demikianlah apa yang dijelaskan melalui maksud yang tersirat dari hadis tersebut, maka terzahirlah satu azam bagi merealisasikan maknanya berdasarkan kepada perlunya " penyatuan " masyarakat agar lebih harmoni dan dirahmati oleh Allah. Satu program yang bertemakan " Masjid Di Bela, Ummah Sejahtera " telah dilahirkan oleh Ahli Jawatan Kuasa Masjid Jamek Titi Serong.


Namun demikian usaha yang mahu diterjemahkan secara langsung ini di hadapan masyarakat sebagai satu hidangan roh dan penyatuan yang kukuh melalui institusi masjid sebagai lapangan utama dan terpenting ini menuntut semangat kerjasama dan " azam " yang kuat baik daripada ahli-ahli masjid yang dilantik mahupun dari penglibatan ahli masyarakatnya.

Maka dari itu, menetapkan azam untuk satu perkara yang sebesar ini, adalah satu tuntutan. Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
Hanya segala amal itu dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap
seorang mengikut apa yang ia niatkan " .
[ Riwayat Bhukari & Muslim ]

Ini menunjukkan azam dan niat yang disertakan dari awal pada setiap perancangan itu yang disertai dengan keinginan dan cita-cita yang teguh dan bersungguh-sungguh adalah suatu amalan berpahala dan amat digalakkan.

Imam al-Nawawi dan ramai ulama meletakkan hadis ini pada martabat dan tingkat amat tinggi pada sisi ajaran Islam sehingga Imam al-Syafie dan imam mazhab lain berpendapat bahawa hadis ini merangkumi sepertiga Islam kerana setiap perbuatan manusia bergantung kepada niat yang kemudian dipertuturkan melalui lisan dan diterjemahkan melalui pembangunan program atau agenda yang praktikal melalui anggota tubuh.

Merujuk kepada realiti perbuatan manusia, " azam " memainkan peranan amat penting dalam menjaya kan sesuatu perancangan atau juga program yang mahu dilaksanakan. Berjaya atau gagalnya suatu misi terletak kepada niat, azam dan kesungguhan. Dari perspektif Islam, azam yang baik ialah azam yang tulus dan ikhlas kerana menuntut keredhaan Allah.

Bagi merealisasikan azam dan kejayaan program yang dirancangkan ini maka langkah seterusnya harus digerakkan antaranya :-
a) Perancangan, pengurusan dan strategi yang baik serta kesesuaian dengan matlamat
yang mahu dicapai.
b) Pelaksanaan yang baik dan istiqamah.
c) Tawakkal kepada Allah.
d) Lakukan penilaian dan muhasabah secara berterusan agar perancangan dan
perlaksanaan tidak lari dan tersasar daripada matlamat yang ingin dicapai.